Forever young.

"Speak now or forever hold your peace in pieces."

Siapa musuh dalam selimut Islam?

Artikel dari ProjekMMO: Siapa musuh dalam selimut Islam?

Beberapa hari yang lepas, saya terserempak dengan sebuah tweet yang menggesa bahawa kita perlu menghentikan Syiah agar tidak tersebar kerana semua orang Syiah adalah ganas. Maka saya pun menulis tweet ini (di mana akhirnya saya telah memadamnya):

“Jangan bagi Syiah berkembang sebab Syiah kejam? Jika begitu, Sunni pun jangan berkembanglah sebab puak ISIS itu semuanya Sunni.”

Kemudian, berikut adalah jenis-jenis orang yang terdapat dalam bahagian ‘mentions’ akaun Twitter saya berikutan tweet saya tersebut:

  1. Orang yang menyangka saya ini menggalakkan Syiah
  2. Orang yang menyangka saya ini anti-Sunni
  3. Orang yang menyangka saya ini seorang apologis ISIS
  4. Orang yang menyangka saya ini menyamakan ISIS dengan semua Muslim Sunni
  5. Orang yang menganggap bahawa saya ini tak sepatutnya menggunakan ISIS sebagai sebuah contoh kerana ISIS tidak ada kaitan dengan agama
  6. Orang yang menyamakan saya ini dengan Donald Trump kerana saya mencerca Islam

Tidak lama kemudian, orang-orang tersebut menaikkan nama saya kepada @PDRMsia kerana kononnya saya ini menimbulkan huru-hara dan merosakkan nama baik Islam.

Walhal, sejujurnya saya beranggapan bahawa hujah saya agak jelas.

Jikalau kalian tidak mahu sekumpulan Muslim yang ganas (dalam kes ini, ISIS) untuk mewakili semua orang Islam, maka kenapa pula menganggap sekumpulan orang Syiah yang ganas mewakili seluruh orang Syiah? Berapa ramaikah antara kita yang mengenali seorang ahli Syiah secara peribadinya?

Untuk mereka yang berasa begitu tersinggung tatkala saya mengaitkan ISIS dengan Islam, mereka perlu terlebih dahulu belajar menerima hakikat bahawa ISIS itulah masalah kita sekarang. Sekalipun saya percaya bahawa ISIS itu mungkin sekali dicipta berdasarkan sebab-musabab politik, kita juga perlu faham bahawa tentera yang direkrut itu dibasuh mindanya dengan kepercayaan bahawa mereka itu berjuang demi Islam, demi jihad.

Dengan mengatakan “ISIS tidak Islamik!” tidak menyelesaikan sebarang masalah, bahkan sebaliknya kita hanya menutup mata terhadap masalah sebenar, iaitu fundamentalisme agama. Orang-orang seperti para ISIS itu pula percaya akan interpretasi terhadap Islam secara berbeza, yang ganas, dan mereka percaya apa sahaja tindakan mereka akan membawa mereka kepada jalan yang ‘benar’.

Ramai antara kita yang percaya bahawa apa yang dibuat ISIS tidak Islamik kerana ianya berlawanan dengan intipati keimanan iaitu kasih sayang dan belas kasihan. Tapi dalam masa yang sama, ianya tidak mengubah hakikat bahawa ahli-ahli ISIS itu masih dikira sebagai muslim. Hanya dengan mengatakan mereka ISIS itu bukan muslim tidaklah automatik menjadikan mereka itu sebagai bukan orang Muslim.

Untuk menghentikan kegiatan mereka para ISIS itu, atau setidak-tidaknya untuk mencegah daripada orang ramai berkeinginan untuk menyertai ISIS, kita wajar terlebih dahulu harus mengakui bahawa wujudnya interpretasi ala fundamentalis Islam di luar sana. Kumpulan pengganas Muslim seperti ISIS, Al-Qaeda dan sebagainya memanglah mengikuti interpretasi yang sama sebegitu rupa.

Dengan mengatakan ISIS bukanlah orang Islam ini bagaikan mengatakan bahawa Crusaders bukanlah orang Kristian. Padahal, kesemua tindak-tanduk mereka didasari oleh agama.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya berkata, “ISIS bukanlah masalah kita.” Jikalau begitu, saya sendiri tersangatlah ingin percaya juga, tapi, masalah sebaliknya itulah. Sebagai muslim, kita juga tidak senang-senang sahaja boleh melepaskan perkara ini begitu sahaja, ianya takkan tiba-tiba lenyap begitu sahaja, bahkan sekiranya kita diam sahaja, berdiamnya diri kita seolah-olah membenarkan sahaja kezaliman berlaku. Kita perlu melawan ideologi yang ganas ini berkenaan Islam. Kita perlu membina suatu naratif untuk melawan. Tapi percubaan ini akan sukar di Malaysia, dan mari saya beritahu kalian kenapa.

Radikalisme tidak hanya datang dalam bentuk pertumpahan darah, tapi juga dalam bentuk fundamentalisme yang bercampur-baur. Saya pernah menulis tentang ini di sini.

“Ramai orang mengaitkan Islamisme dan fundamentalisme muslim dengan kegananasan, makna kata yang berbentuk fizikal. Tapi dalam masa yang sama, masih ada suatu lagi jenis fundamentalisme yang sama berbahaya, dan yang itulah yang dipanggil sebagai fundamentalisme yang bercampur-baur. Fundamentalisme jenis ini menyerap masuk ke dalam hidup seharian kalian, dan selalunya kita tidal sedar akannya.

Tatkala diserap, ianya akan disebarkan menerusi Twitter, Facebook, YouTube, internet, televisyen, radio, khutbah dan cakap-cakap mulut.”

Ada sebab-musabab kenapa saya menggunakan ISIS sebagai perbandingan terhadap Muslim Sunni. Berapa ramai antara kita yang sebenarnya tahu bahawa asal-usul ISIS itu bermula dengan sekumpulan Muslim Sunni yang cuba untuk membunuh semua orang Syiah? Di Malaysia, kita digembar-gemburkan bahawa para Syiah itu jahat, atau lebih teruk, darah mereka adalah halal untuk ditumpahkan, tapi dalam masa yang sama, kita sendiri membantah pembunuhan yang dilakukan ISIS. Tidakkah kalian sedar akan paradoks sebegini?

Kita membantah sesebuah perkara yang kita sendiri benarkan ianya berlaku di sini. Dan sudah tentu, pertembungan Sunni vs. Syiah di Malaysia ini tidaklah mencapai tahap pembunuhan beramai-ramai, tetapi ajaran-ajaran sebegini yang asyik melaknati Syiah sebenarnya adalah benih-benih yang suatu hari nanti akan tumbuh menjadi pemikiran militan, menjadi orang-orang seperti para ISIS. Bahkan kita sudah ada rakyat Malaysia yang keluar dari negara ini untuk pergi menyertai kumpulan pengganas tersebut.

Hal ini sangat mengkhuatirkan saya tatkala memikirkan betapa melatanya kerosakan yang ISIS timbulkan atas nama Islam, dan betapa kurangnya tindakan kita dalam menghentikan kerosakan tersebut. Adalah tak memadai dengan sekadar menampal beberapa potong ayat Quran yang mengajarkan kita keamanan, sekadar mengatakan kita tidak menyokong ISIS kerana Quran telah mengatakan begini dan begitu, tapi dalam masa yang sama kita menyokong hukuman dan mendiskriminasi terhadap orang Syiah. Bukan begitu caranya. Kalian tidak patut sekadar cakap mulut sahaja. Kalian mesti bertindak juga.

Langkah pertama untuk menyelesaikan masalah ini, semestinya sama seperti yang telah saya nyatakan awal-awal tadi, adalah untuk mengakui bahawa kita ada masalah. Kata Iyad El-Baghdadi, “ISIS bukanlah luka kepada Islam, ianya adalah barah daripada dalam.” Ianya adalah perkara yang kita sesama sendiri harus baiki, tapi bagaimana kita akan lakukannya jika kita sendiri saling bertelingkahan?

Minggu lepas, saya dijemput untuk menjadi sebahagian dalam sebuah konferens berkenaan melawan radikalisme. Sebelum itu lagi, ada beberapa kumpulan Islamis yang cuba untuk menghentikan kami. Bahkan ada pengikut-pengikut mereka yang sanggup mengatakan darah kami adalah halal untuk ditumpahkan.

Tapi masih, acara berjalan seperti yang dirancang. Sementara konferens berlangsung, tiba-tiba sahaja isu terbaru serangan di Paris timbul secara meluas.

Seakan sebuah ironi buat saya bahawa adanya kumpulan-kumpulan Islamis yang telah cuba menghentikan perbincangan menentang radikalisme, dan kemudian, sebuah tindakan ganas dilakukan atas nama Islam. Sementara serangan (di Perancis) tersebut sangat teruk, saya mula berasa bahawa inilah masa yang tepat untuk kita mula memandang serius masalah radikalisasi orang Islam.

Tujuan utama tweet saya bukanlah untuk menyatakan amalan agama siapa yang benar atau salah, samada Muslim Sunni atau Syiah. Ianya bukannya perdebatan teologi. Ianya sekadar permohonan untuk berhentilah daripada mengeneralisasikan orang. Hati saya bagai disiat-siat tatkala melihat kita saling bertelingkahan sesama sendiri berbanding sepatutnya kuat melawan musuh sebenar kita.

Sementara itu, statistik di bawah menunjukkan 11% rakyat Malaysia menyokong ISIS sementara 25% lagi tidak menentukan apa-apa. Tahukah kalian betapa angka terbabit cukup merungsingkan? Sejujurnya saya berasa takut.

CUqdM8FVEAAzvaK

Berikut adalah apa yang ditulis oleh Iyad El-Baghdadi dalam Twitter miliknya yang mengungkap kemas apa yang saya rasa dan ingin sampaikan:

“Ianya bukanlah sebuah rahsia bahawa kita mengalami sebuah krisis nilai dalam Islam. Perkataan ‘Islamik’ membawa makna yang berbeza-beza untuk setiap orang Islam.

Sila ambil kira ini: Orang Islam boleh jadi insan yang paling baik dan paling berbelas kasihan – dan memetik Islam sebagai sumber inspirasi. Tapi: Orang Islam yang lain pula boleh jadi antara yang paling jahat, paling teruk budi pekertinya,  dan paling dahagakan darah –  juga sambil memetik Islam sebagai sumber inspirasi.

Berkenaan ISIS, kita ada perdebatan berkenaan apa yang Islamik atau apa yang tidak. Tapi debat itu pantas berubah arah. Debat apa yang Islamik  itu menjadi sia-sia kerana di akhirnya lebih menyentuh tentang tradisi dan sejarah berbanding menyentuh tentang nilai.

Hakikatnya, pengajian Islam kekurangan sistem nilai yang objektif, terang dan formal. Secara tradisionalnya ia menyentuh tentang keputusan berbanding nilai. Paradigma Islamik kita yang dominan ini lebih obses terhadap keputusan dan sangat mencurigai cubaan berbincang tentang nilai yang melangkaui konteks keputusan. Paradigma dominan sebegini bukan sahaja membataskan pemahaman dan interpretasi – ianya juga menyebabkan bias pengesahan yang membuatkan keputusan wujud teguh pada tempatnya. Alih-alih kita ada sebuah ‘Islam’ yang cuba untuk menghasilkan peraturan sebanyak mungkin berbanding menghimpunkan dan mendirikan set nilai yang koheren.

Quran sememangnya menyediakan sistem nilai yang objektif dan kukuh, tetapi kita pula yang gagal menyedarinya kerana kita yang mencari-cari peraturan, bukan nilai. Contohnya, Fiqh. Fiqh adalah sebuah metodologi yang canggih lagi bersepadu dalam membuat keputusan bersumberkan teks. Keputusan, bukan nilai. Bukanlah hendak dimaksudkan bahawa para cendekiawan Fiqh tidak mengambil berat akan nilai – tapi metodologi fiqh itu sendiri, dalam mazhab-mazhab yang dominan, dalam bebas nilai.

Cendekiawan Islamik klasik menyediakan kita sebuah rangka kerja penggubalan yang formal tapi tidak pula menyediakan kita sebuah sistem nilai yang terang lagi formal.

Dan dengan kehadiran ISIS yang mendesak, saya berharap kita mampu untuk menyaksikan perubahan besar budaya, daripada Islam yang cenderung-peraturan kepada Islam yang cenderung-nilai. Saya berharap. Ianya takkan mudah; ianya tugas yang berat. Tapi ianya cukup perlu jika kita ingin menyelamatkan dan menyembuhkan keimanan dan kemanusiaan kita.

Sebagai peringatan terakhir: Secara sejarahnya, apa yang arus perdana dan bukan arus perdana adalah fungsi kuasa semata-mata, bukannya kebenaran. Dan keseimbangan kuasa berubah-ubah.”

Maka tolonglah, marilah kita hentikan pergaduhan yang tiada makna sesama kita ini. Pada saat-saat getir sebegini di mana Islamofobia semakin menular, kita orang Islam harus bersatu-padu dengan lebih erat lagi. Musuh utama adalah radikalisme agama. Bukannya saudara-mara se-Islam kalian sendiri.

*Artikel asal dalam bahasa Inggeris, terjemahan ke dalam Bahasa Melayu oleh El Ferdowsi.

One comment on “Siapa musuh dalam selimut Islam?

  1. Azizi Ahmad
    March 21, 2016

    Just sharing as it seems fit the topic.
    Hentikan Persengketaan dan Perbalahan – Kembali kepada ALLAH
    Seorang Muslim atau seorang yang beragama Islam tidak semestinya seseorang ini boleh menyatakan apa sahaja di atas nama Islam. Islam adalah satu agama yang menuntut kepada ilmu dan ianya wajib keatas semua yang beragama Islam. Islam bukan satu agama paksaan dan bukan agama extremis (Islam – sejahtera, aman). Apabila seseorang itu menganut agama Islam, maka secara umumnya sudah pun terikat dengan undang-undang dan hukum-hukum yang telah di tetapkan. Itu jelas, namun yang menjadi perbalahan dan persoalan adalah bagaimana ianya dilaksanakan dan dipraktikkan di dalam negara yang begitu majmuk seperti negara Malaysia. Sebenarnya, kedudukan negara, suasana dan kepelbagaian tidak menjadi isu sebenarnya, yang menjadi persoalan adalah orang mempersoalkan dan mempunyai interpretasi masing-masing di atas perlaksanaan undang-undang dan hukum-hukum Islam itu sendiri. Persoalan adakah sebab kita orang Islam sudah cukup untuk mempersoalkannya dan memperdebatkannya ? Islam bukan satu agama logik, itu amat jelas sebab Islam adalah satu agama yang mana orang Islam beriman pada Yang Satu Yang Ghabul Ghuyub (i.e. ghaib). Maka logik selalunya tidak mengenai tepat kepada kehendak dan memahami Islam itu sendiri. Islam ini global dan relevan sepanjang zaman sebab ianya datang dari Tuhan Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Sebab itulah di sebut berulang kali di dalam Kitab Al-Quran, Al-Hadiths dan juga Sunnah iaitu mencari Ilmu itu wajib – “Katakanlah: Tidak sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang tidak berilmu” (Az-Zumar 9). Ilmu apa ? Ilmu Ketuhanan. Selagi seseorang itu tidak memahami serta mendalami Ilmu Ketuhanan ini maka, secara amnya tidak layak menceritakan bahkan mempersoalkan (i.e. membantah, prasangka) di tentang Islam keseluruhannya – “Maka, tanyalah kepada para ahli ilmu kiranya kamu tidak mengerti: (An-Nahl 43). Dalam ertikata lain, kita tidak akan dapat memahami Islam ini sebenar-benarnya sebab ianya datang dari ALLAH Yang Maha Satu yang mana kita sendiri tidak kenal dan kita langsung mengetahui ditentangNYA. Manusia dijadikan oleh ALLAH adalah semata-mata untuk menyatakan kewujudan DIA sebagai ALLAH Tuhan Yang Satu – “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri (berbakti) kepadaKU” (Adz-Dzariyat 56). Maka kita wajib diatas kehidupan seharian melakukan (berbakti) perkara-perkara yang menwujudkan Yang DIA Itu ALLAH Yang Satu. Kita sebagai hamba mesti menyuluh, mengkaji, merenung dan menghayati segala-galanya yang berlaku disekeliling kita kerana semuanya datang dari ALLAH tidak kira buruk atau pun baik. Persoalan timbul siapakah yang layak menceritakan dan membahaskan di tentang Islam (Allah) secara keseluruhan ? Sudah pun di beri penerangan di dalam Al-Quran, Hadith dan Sunnah, iaitu orang yang mempunyai Ilmu Ketuhanan yang tinggi – Siddiq dan Amanah. Orang ini yang dikatakan menghidupkan Al-Quran, Hadiths dan Sunnah di dalam semua perbuatan dan tindakan – “Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami, yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; ilmu dari sisi Kami” (Al-Kahfi 65). Sebab itulah juga disebut sekiranya berlaku sesuatu perbalahan, persengketaan, ketidak sefahaman dan lain-lain, baliklah kepada Al-Quran, Hadiths dan Sunnah – “Kemudian jika kamu berlainan pendapat ditentang sesuatu, maka kembalilah kepada ALLAH (Al-Quran) dan RasulNya (As-Sunnah), jika kamu benar beriman kepada ALLAH dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya” (An-Nisa 59). Maksudnya di sini kembali kepada Quran Yang Hidup, Hadith Yang Hidup dan Sunnah Yang Hidup iaitu dengan merujuk kepada “orang” yang mempraktik semua ini dalam kehidupannya (Rasul, Nabi, Wali, Anbiya). Orang ini mempunyai pengalaman bahkan sudah melalui satu proses kehidupan dan pengalaman yang memberi pelbagai suasana dan keadaan, yang mana selari dengan apa yang telah dinyatakan didalam Al-Quran, Hadith dan Sunnah (penyaksian) – “Barangsiapa yang menyembunyikannya (penyaksian), maka berdosalah hatinya” (Al-Baqarah 283).
    Oleh itu, marilah kita bersama-sama kembali kepada jalan yang lurus supaya segala kemelut, perselisihan dan permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam khususnya di bumi Malaysia di zaman abad ke-21 ini dapat di leraikan dan membuka kedua-dua minda dan hati kita untuk balik kepada ALLAH SWT (Rukun Iman Yang Pertama – Percaya Kepada ALLAH). TanpaNYA maka Rukun Iman yang seterusnya dan Rukun Islam tidak akan dapat direalisasikan. Sekiranya ini tidak berlaku maka sampai satu masa kelak, yang pastinya akan berlaku suatu yang diluar jangkaan manusia sepertimana yang telah pun berlaku di Acheh dahulu. Maka hentikanlah segera kata-kata yang tidak berfaedah yang tidak ada sokongan bukti ataupun dalil yang sah. Janganlah kita angkuh dan merasakan kita hebat dan betul, kita adalah manusia yang lemah lagi jahil – “Dan tolong-menolonglah kamu di atas kebajikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu tolong-menolong di atas dosa dan permusuhan” (Al Maidah 2)
    Islam tidak perlu “di tegakkan”, Islam tidak perlu di nyatakan “kebenarannya” Islam sememang tegak dan benar – Yang sepatutnya di soalkan kepada setiap diri kita adalah – Adakah tertegaknya Islam di dalam diriku? Adakah wujud kebenaran Islam di dalam diriku? Sudahkah aku dapat memberi penyataan ditentang ALLAH Tuhanku ? Mana buktinya ? Sekiranya kita masih belum dapat meletakkannya dan menzahirkannya maka selesaikanlah hal tersebut terlebih dahulu dengan bukti-bukti yang sahih. Apabila sampai penyaksian keatas diri, barulah dapat di ceritakan dan di perkatakan ditentang Islam sebenar-benarnya (Pepatah Melayu – penuhkan air di dalam gelas terlebih dahulu, jangan lihat pada tungau seberang laut tapi lihat gajah depan mata).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Information

This entry was posted on November 27, 2015 by in Religion and tagged , , , , , , , , , , , .
%d bloggers like this: